Menghina Orang Lain

Salam semua.

Menghina Orang Lain

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”

Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi

Huraian
i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Pasangan Yang Terbaik

Bagaimanakah cara mendapatkan pasangan yang baik?. Bagi mendapat pasangan yang baik kita perlu menjadi orang yang baik terlebih dahulu. Orang yang baik mendapat pasangan yang baik. InsyaAllah apabila kita ingin mendapatkan isteri yang solehah, kita perlu mendidik diri kita terlebih dahulu supaya menjadi orang soleh. Oleh sebab itu kuncinya adalah bukan kita yang mengejar calon pasangan kita. Perbaik kualiti diri dan ALLAH bakal mengurniakan jodoh yang baik untuk kita. Kita dianjurkan bagi memilih dan mencari jodoh, tetapi hakikatnya jodoh itu sudah ditentukan oleh ALLAH.

Cara Mendapatkan Pasangan yang Baik.

1- Kuatkan niat bagi beribadah.

2- Jangan terlalu menilai pandangan secara lahir dan dan perkuatkanlah pandangan zahir.

3- Meningkatkan kemampuan kita dengan berilmu dan berketerampilan.

4- Carilah di antara orang-orang yang soleh dan di tempat-tempat terpuji.

ALLAH menjelaskan lagi di dalam Al-Quran surah an- Nur ayat 3 yang bermaksud,

“Lelaki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau pun perempuan yang musyrik dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina dan musyrik dan demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang mukmin”.

Mukjizat di sebalik BISMILLAH

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz “BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM” yang bermaksud “Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.
2. “BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam.” (Hadith Qudsi)
3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.
4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.
5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.
6. Jumlah huruf dalam BSMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 ( QS.AL Muddatsir:30) .Ibnu Mas’ud berkata: “Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari.”
7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, “Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. “
8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.
9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.
10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.
11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Salam Ukhwah

Insyallah

Hikmah Solat Tahajud

SATU cara paling ideal bagi seorang Muslim untuk berhubungan dengan Allah ialah mengerjakan ibadat pada waktu tengah malam, ketika suasana sunyi sepi dengan kebanyakan makhluk nyenyak tidur dan penuh kesejukan.

Pada waktu itu seorang Muslim boleh beristighfar, memuji, mensuci dan membesarkan Allah, malah mengerjakan solat sunat tahajud serta solat taubat.

Bagaimanapun, bukan satu perkara mudah untuk bangun dari tidur sedang orang lain lena dibuai mimpi. Bukan mudah untuk berwuduk dalam kedinginan malam yang mencengkam tulang dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata terkebil-kebil.

Justeru, tidak ramai yang boleh bangun bertahajud, walaupun mengetahui banyak kelebihannya kecuali mereka yang benar-benar tertarik dengan keindahan Allah, berbanding keindahan mimpi di dalam tidurnya.

“Dan dari malam, hendaklah engkau bertajahud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhan-Mu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.” (al-Isra: 79)

Solat tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan mereka dengan Allah.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.

Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan solat tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-

Jauh daripada segala penyakit

Lahir kesan takwa pada wajahnya

Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia

Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)

Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat perkara di akhirat ialah:-

Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri

Dipermudahkan hisab

Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat

Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”

10 Wasiat Imam Syafie

10 Wasiat Imam Syafie

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan

Kenyataan Mufti Perlis

Dengan sukacitanya kawe ‘paste’kan artikel ni buat tatapan umum..Mungkin tuan dan puan ada terbaca artikel ni kat Utusan Malaysia,tapi tidak mengapa,bacalah sekali lagi..Bagi yang tidak sempat baca,tuan dan puan boleh lakukan sekarang..Artikel ni amat baik untuk kita jadikan renungan bersama..bacalah..silakan..

Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’ , “Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?” Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.
Pembaziran
Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.
Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan. Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An- Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.
Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?” (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperoleh ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir). Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.
Tanggungjawab
Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana. Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang? Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.
Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Awas.. Game Hina Islam

Game yg menghina kita… Sedarlah, dalam kita bergembira kita harus peka dengan anasir – anasir yang jahat ini..

Photobucket

1. Devil May Cry 3 (untuk platform ps2) Satu adegan dalam game tersebut dipaparkan pintu kaabah sebagai pintu yg menghubungkan di antara dunia syaitan dan dunia nyata… dan yang membukakan pintu tersebut adalah character c.g.i. yg telah menyerahkan diri pada kuasa ilmu hitam yg sememangnya islam melarang amalan itu ayat character c.g.i. itu ada membaca ayat… klau tak silap lebih kurang begini permulaannya. .. ” wahai pintu yang menghubungkan dunia kegelapan”
[dalam bahasa inggeris] dan character itu membaca ayat itu didalam kitab yang dipegangnya. .. klau tak silap kitab bible.. . pasal di
akhir scene character tersebut ada menyebut 7 ayat kemusnahan yg tercatit didalam bible… “wrath, sloth, lust, gluttony, dan tiga lagi
ayat yg lain…..mmg game setan…pesan kat adik2 kite..

Photobucket

2. Counter Strike Condition Zero Deleted First Stage dia.. Kita kena lawan Tembak dgn askar2 yang BERAGAMA islam… Kalau kita sedar..
Masa kita tembak tuh.. Kita dengar Askar yg kna tembak jerit.. ALLAHUAKBAR.. JIHADD..

Photobucket

3. Prince Of Persia Pedang pada watak tuh.. Ada tulisan Kaligrafi Arabic Alphabatic

“Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun” (Sabda Rasulullah SAW)

“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan
Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah Al- Ahzab:71)

Jika kita main game ini bermaksud kite juga menyokong apa yg mereka cuba sampaikan & mereka lakukan.. jadi semoga dapat disampaikan
kepada saudara – saudara kita semuanya..

Pengetahuan Islam (Asas)

Rukun Islam

Rukun Islam ada lima perkara iaitu:

Mengucap dua kalimah syahadat
“ Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh-Nya”
Dengan syahadat, kita mengabdikan diri dengan hati dan sanubari dan dengan pengakuan lidah bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah s.w.t dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya.

Solat Lima Waktu Sehari Semalam
Solat adalah rukun Islam yang kedua yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Sesiapa yang mendirikan solat akan mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya mendapat dosa dan azab yang pedih di akhirat.

Solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbiraktul ihram dan disudahi dengan memberi salam. Allah s.w.t berfirman:
“ Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu kewajiban yang ditentukan waktu ke atas orang yang beriman”

Solat Fardhu yang wajib didirikan ialah solat ima waktu sehari semalam. Solat Jumaat difardhukan kepada muslim pada setiap hari Jumaat. Solat amat penting bagi setiap individu muslim. Oleh itu anak-anak hendaklah dilatih mengerjakan solat sebagaimana hadith Rasullah s.a.w iaitu:

“ Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka sekiranya meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) daripada tempat tidur”

Dengan sembahyang kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah-Nya. Mulai dari lidah yang membaca, tangan bergerak, mata , telinga dan fikiran terpusat dengan susunan rukun sembahyang yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Mengeluarkan Zakat
Zakat dari segi bahasa boleh diertikan sebagai tumbuh dan bertambah. Ia juga bererti zakat dan baik, suci dan subur.
Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih; bersih dari sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita mengeluarkannya, serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah.

Zakat dari segi syara’ bermaksud nama daripada harta-harta tertentu yang diberikan kepada orang-orang tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Pembayaran zakat dibuat oleh seseorang Muslim dari harta/ pendapatan/ perniagaan/ tanaman/ ternakannya sama ada dalam bentuk wang atau bijian atau ternakan, dengan kadar tertentu (2.5% atau 5% atau 10%) bergantung kepada jenis harta, yang diserah kepada pihak berkuasa yang mengutip zakat, untuk diagih kepada 8 asnaf golongan-golongan yang berhak menerima zakat.

Zakat juga boleh dibayar terus sekiranya tiada pihak berkuasa menguruskannya.

Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Allah dengan menyerahkan sebahagian daripada harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya.

Berpuasa di Bulan Ramadan
Firman Allah s.w.t
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya

“Orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana didorong oleh rasa keimanan kepada Allah dan dengan penuh kesedaran, maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu. “

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhkan larangan-Nya. Ini secara langsung akan melahirkan rasa keinsafan serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Mengerjakan Haji Di Baitullah
Haji dalam syarak ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai’e dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat–syaratnya serta menunaikan segala yang wajibnya.

Dengan mengerjakan haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

Rukun Iman

Rukun Iman ada enam perkara iaitu:

Beriman Kepada Allah
Dengan Iman, kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati kita hanya kepada-Nya.Secara positifnya kita menuju Tauhid yang semurni-murninya dan secara negatif kita menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.

Beriman Kepada Malaikat-Malaikat
Dengan Iman kita mempercayai bahawa adanya makhluk ghaib yang bernama Malaikat yang menjalankan tugasnya mengikut perintah Allah.Secara positif kita percaya kepada alam ghaib yang ditegaskan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk ghaib yang tidak dinyatakan Allah.

Beriman Kepada Rasul-Rasul
Dengan beriman kepada Rasul-Rasul, kita mempercayai adanya pesuruh-pesuruh Allah di muka bumi ini untuk dijadikan petunjuk dan teladan.

Beriman Kepada Kitab-Kitab
Dengan beriman kepada kitab-kitab suci, kita mempercayai adanya kitab-kitab Allah yang memimpin manusia, yang di akhiri oleh Kitab Al-Quran.

Beriman Kepada Hari Kiamat
Dengan Iman, kita mempercayai bahawa di sebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.

Beriman Kepada Qada’ dan Qadar
Dengan beriman kepada qada’ dan qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaan-Nya.

Ilmu, Iman & Amal

Pengertian Iman
Iman adalah kepercayaan atau tasdiq yang kukuh melalui pengucapan lidah dan kepercayaan dalam hati terhadap Allah, kepercayaan kepada Rasul, kepercayaan kepada Malaikat, kepercayaan kepada Kitab-kitab, kepercayaan kepada Hari Akhirat dan kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar, baik dan buruk daripada Allah s.w.t.

Iman juga disebut sebagai akidah yang teguh terhadap semua ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tidak boleh diubah atau dipisah-pisahkan daripada keyakinan seseorang itu.

Pengertian iman dan akidah seperti yang disebut di atas adalah berdasarkan kepada kenyataan berikut:

Firman Allah SWT:

Photobucket
Maksudnya:
“ Maka sesiapa yang tidak percayakan kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan ( tali agama) yang kukuh teguh, yang tidak akan terombak (putus). Dan (ingatlah) , Allah maha mendengar lagi Maha Mengetahui .” (Al Baqarah : 256)

Sabda Rasullah SAW:

Photobucket
Maksudnya:
“Iman ialah bahawa engkau beriman dengan Allah, kepada malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya,kepada Rasul-rasul-Nya, kepada Hari Qiamat dan hendaklah engkau beriman kepda Qadar yang baik dan buruk.”
(Muslim dari Umar bin Al-Khattab)

Pengertian Iman bolehlah diambil kesimpulan bahawa:

Tiada dikategorikan seseorang itu sebagai telah beriman dalam erti kata beriman dengan sebenarnya jika dia tidak menerima secara bersungguh atau hanya mempercayai sebahagian dari rukun iman dan menolak sebahagian yang lain. Sesiapa yang menolak sebahagian atau meragui sebahagian dari rukun Iman bererti dia seolah-olah menolak keseluruhan rukun iman.

Firman Allah:

Photobucket
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) :” Sesiapa yang memusuhi Jibril, maka sesungguhnya Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada dihadapannya (yang diturunkan sebelumnya) serta menjadi pertunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman. Sesiapa yang memusuhi Allah (dengan mengingkari segala pertunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya serta rasul-rasul-Nya,khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang yang ingkar.” (Al Baqarah : 97-98)

Iman dan aqidah bukan hanya sekadar percaya kepada rukun iman, tetapi iman dan akidah mesti lahir dalam bentuk amalan dan perbuatan.
Tidak timbul rasa keagungan, kekuasaan dan kebesaran Allah dalam jiwa seseorang itu kalau dia tidak mengenali sifat-sifat keagungan dan kebesaran serta kekuasaan Allah SWT.

Adab

Adab Bercakap
Rasullah s.a.w bersabda
Janganlah bercakap melebihi daripada zikrullah. Sesungguhnya dengan banyak bercakap akan mengeraskan hati dan bila hatinya telah keras maka ia akan menjadi semakin jauh dari Allah.”

Bercakaplah dengan nada yang jelas tanpa ada rasa keraguan dan jangan bercakap dengan nada yang samar-samar.

Bercakaplah di depan dengan cara bertentangan mata dan jangan bercakap di belakang, ini untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan salah faham.

Jangan bercakap di depan orang sedang sakit tentang sesuatu yang mendukacitakan sebaliknya ucapkanlah tentang sesuatu yang memberangsangkan.

Jangan bercakap mengenai hal orang lain, membuat fitnah serta mencaci maki orang.

Jangan memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak menyenangkannya.

Jangan bercakap tentang sesuatu perkara yang anda sendiri masih kurang pasti mengenainya

Adab Berjanji
Jangan sesekali membuat janji sekiranya anda telah berniat untuk tidak menunaikan janji itu.

Jangan berjanji untuk membuat sesuatu perkara yang haram ataupun melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Sekiranya anda telah membuat janji maka tunaikanlah janji itu dan jangan sesekali melanggari janji itu jika anda tiada alasan yang kukuh dan wajar.

Adab Berjiran
Dikira jiran itu bermula daripada 40 buah rumah ke hadapan, belakang, kiri dan kanan.

Menziarahinya bila dia sakit.

Menerima undangannya bila ada sesuatu majlis kesyukuran atau keramaian.

Cuba membantunya sedaya yang boleh bila mereka berada dalam kesusahan.

Memaafkan setiap kesalahan dan kesilapan yang tidak disengajakan.

Adab Ketika Berada Di Masjid
Melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan sambil membaca doa tetapi ketika keluar melangkahlah dengan kaki kiri sambil membaca doa.

Sebelum duduk tunaikanlah solat sunat dua rakaat iaitu solat tahiyatul masjid.

Jangan berkeliaran di dalam masjid, ingatlah anda sedang berada di dalam istana Allah maka duduklah dengan penuh perasaan tawaduk dan sibukkan diri dengan memperbanyakkan solat sunat dan berzikir.

Jangan meninggikan suara di dalam masjid sama ada berzikir atau membaca Al-Quran kerana ini akan menganggu orang lain untuk beribadat.

Jangan berbual di dalam masjid mengenai hal-hal keduniaan.

Adab Makan
Membaca Bismillah ketika mula hendak makan.

Membersihkan tangan serta makan dan minum menggunakan tangan kanan.

Sunat makan secara berjemaah kerana banyak keberkatan yang terkandung di dalamnya.

Jika makanan yang ada itu sedikit sedangkan tetamunya terlalu ramai maka janganlah makan sampai terlalu kenyang.

Akhlak

Sifat-sifat Terpuji

Bertaubat ertinya meninggalkan segala perbuatan tercela yang telah dikerjakannya dengan niat kerana ingin membesarkan Allah s.w.t. Orang yang bertaubat mesti memenuhi syarat-syarat yang berikut sebagai bukti kesungguhannya iaitu:
Meninggalkan maksiat dengan kesedarannya.
Sungguh- sunguh menyesal di atas perbuatannya yang salah itu atau yang telah terlanjur.
Berazam dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi keterlanjurannya lagi.

Khauf ertinya takutkan Allah. Takut kepada kemurkaaan-Nya dengan memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah.

Zuhud ertinya bersih dan suci hati berkehendakkan lebih daripada keperluannya serta tidak pula bergantung kepada makhluk lain. Hatinya sentiasa mengingati bahawa harta yang dimilikinya adalah sebagai amanah daripada Allah buat sementara waktu sahaja.

Sabar ertinya tabah dan cekal dalam menghadapi sesuatu ujian dan dugaan yang mendukacitakan daripada Allah.

Syukur ertinya menyedari bahawa semua nikmat yang diperolehi baik yang lahir mahu pun yang batin semuanya adalah daripada Allah. Ia juga merasa gembira dengan nikmat itu serta bertanggungjawab kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan-Nya.

Ikhlas ertinya mengerjakan amal ibadat dengan penuh ketaatan serta semua perbuatan yang dilakukan itu semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, bukan kerana tujuan yang lain.

Tawakal ertinya berserah diri kepada Allah dalam melakukan sesuatu rancangan.

Mahabbah ertinya kasihkan Allah dan hatinya sentiasa cenderung untuk berkhidmat dan beribadat kepada Allah serta bersungguh-sungguh dalam menjaga dirinya dari melakukan maksiat.

Reda dengan Qada’ dan Qadar ertinya merasa lapang dalam menerima ketentuan nasib yang telah ditakdirkan Allah, samada yang berupa nikmat ataupun musibah.

Zikrul Maut ertinya sentiasa ingat kepada kematian.

Sifat-sifat Tercela

Syarhul Tha’am ertinya gemar kepada makan ataupun makan dengan terlalu banyak.

Syarhul Kalam ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak memberi hasil atau mendatangkan sebarang faedah kepada dunia dan juga akhirat.

Ghadhob ertinya bersifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku hanya pada perkara yang kecil.

Hasad ertinya dengki akan nikmat yang ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan melebihi dirinya.

Bukhl ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan harta kepada jalan Allah.

Hubbul Jah ertinya cintakan kepada kemegahan dunia dan hatinya sentiasa berkehendakkan kepada kemasyhuran.

Hubbul Dunya ertinya cintakan kepada dunia secara keterlaluan sehingga lalai daripada mengerjakan ibadat dan berzikir kepada Allah.

Kibr ertinya bongkak atau sombong dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan serta kedudukan yang tinggi dari orang lain.

Ujub ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga terlupa segalanya adalah nikmat yang datangnya daripada Allah.

Riya’ ertinya menunjuk –nunjuk dengan amal ibadatnya. Ia beramal untuk mendapatkan pujian dan sanjungan daripada manusia bukan daripada Allah.

Pedoman

Berikut adalah beberapa sabda Junjungan kita, Rasulullah s.a.w.
Muslimin dan muslimat, kajilah, fahamilah intipati sabda berikut buat pedoman kita di dunia yang penuh dugaan ini, mudah-mudahan kita mendapat kerahmatan dan kesejahteraan daripada Allah s.w.t.
Rasullulah s.a.w bersabda :

“ Sedekah itu bermula dengan dirimu, kemudian keluargamu.
Jika berlebihan maka untuk kerabatmu dan seterusnya”.
( Sahih. R.Nasaai )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Bertaqwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah dalam
( hal ) anak-anakmu”
( Sahih. R Bukhari & Muslim )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Bertaqwalah kamu kepada Allah, lakukanlah solat lima ( waktu ) mu,
berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakatmu dengan senang hati,
taatilah orang yang memegang urusanmu, engkau akan masuk syurga Tuhanmu”.
( Sahih. R.Tirmidzi, Ibnu Hibban & Haakim )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“ Orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertaqwa”
( Sahih. R.Bukhari & Muslim )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Ibadat yang paling utama adalah berdoa”
( Sahih R.Haakim, Ibnu’Adi & Sa’d)

Rasullulah s.a.w bersabda :
“ Ada tiga tanda orang munafik :
apabila ia berbicara ia dusta,
apabila ia berjanji ia mungkir,
apabila dipercaya ia khianat”.
( Sahih R.Bukhari, Muslim & Tirmidzi )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa dari umatku membaca selawat ke atasku satu kali Allah menetapkan untuknya sepuluh kebaikan, menghapuskan daripadanya sepuluh keburukan, mengangkat untuknya sepuluh darjat”.
( Sahih. R.Ahmad )

Kisah Perang Salib

Kisah Perang Salib

Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berjuang di jalan Nya dalam satu barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh.” (As Saff : 4)

Dalil Hadith dan Sunnah Rasulullah S.A.W

Maksudnya: “Hendaklah kamu berada dalam jama’ah kerana sesungguhnya berjama’ah itu adalah rahmat , sedangkan perpecahan itu merupakan azab.” (Muslim)

Dalil Aqli (akal) berdasarkan kepada Waqi’ (realiti) semasa.

Diperhatikan mereka yang menentang Islam, mereka bekerja secara pasukan. Sebab itu tidak boleh diterima syara’ dan akal, musuh seperti ini dapat dihadapi dengan jayanya secara individu. Abu Bakar r.a pernah berkata kepada Khalid Al Walid: “Perangilah mereka sebagaimana mereka memerangi kamu, pedang dengan pedang, lembing dengan lembing dan panah dengan panah.”

Jerussalem merupakan kota Suci bagi ketiga-tiga agama samawi yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di dalam kota inilah letaknya Masjid Al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan menjadi Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah. Ketika Nabi Muhammad Isra’, singgah dan solat di masjid ini sebelum Mi’raj ke langit. Nabi Isa as. juga dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota Jerussalam ini.

Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M) Jerussalam dapat direbut oleh kaum Muslimin dalam suatu penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar sendiri datang ke Jerussalem untuk menerima penyerahan kota Suci itu atas desakan dan persetujuan Uskup Agung Sophronius.

Berabad abad lamanya kota itu berada di bawah pentadbiran Islam, tapi penduduknya bebas memeluk agama dan melaksanakan ajaran agamanya masing-masing tanpa ada gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh dunia juga bebas datang untuk mengerjakan haji di kota Suci itu dan mengerjakan upacara keagamaannya. Orang-orang Kristian dari Eropah datang mengerjakan haji dalam jumlah rombongan yang besar dengan membawa obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian dari mereka mempermainkan pedang dengan dikelilingi pasukan gendang dan seruling dan diiringkan pula oleh pasukan bersenjata lengkap.

Sebelum Jerussalem ditadbir Kerajaan Seljuk pada tahun 1070, upacara seperti itu dibiarkan saja oleh umat Islam, kerana dasar toleransi agama. Akan tetapi apabila Kerajaan Seljuk memerintah, upacara seperti itu tidak dibernarkan, dengan alasan keselamatan. Mungkin kerana upacara tersebut semakin berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian dalam upacara itu sering menyebabkan pergaduhan dan huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064 ketua Uskup memimpin pasukan seramai 7000 orang jemaah haji yang terdiri dari kumpulan Baron-baron dan para pahlawan telah menyerang orang-orang Arab dan orang-orang Turki.

Itulah yang membimbangkan Kerajaan Seljuk. Jadi larangan itu demi keselamatan Jemaah haji Kristian itu sendiri. Malangnya, tindakan Seljuk itu menjadi salah anggapan oleh orang-orang Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah berkempin bahawa kebebasan agamanya telah dicabuli oleh orang-orang Islam dan menyeru agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman umat Islam.

Patriach Ermite adalah paderi yang paling lantang dan bertungkus lumus mengapi-apikan kemarahan umat Kristian. Dia asalnya seorang tentera, tapi kemudian menjadi paderi, berwatak kepala angin dan cepat marah. Dalam usahanya untuk menarik simpati umat Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah dengan mengenderai seekor kaldai sambil memikul kayu Salib besar, berkaki ayam dan berpakaian compang camping. Dia telah berpidato di hadapan orang ramai sama ada di dalam gereja, di jalan-jalan raya atau di pasar-pasar. Dia menceritakan sama ada benar atau bohong kisah kunjungannya ke Baitul Maqdis.

Katanya, dia melihat pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk. Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh orang-orang Islam di Jerussalem. Serentak dengan itu, dia menggalakkan orang ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan Jerussalem dari tangan orang Islam. Hasutan Ermite berhasil dengan menggalakkan. Paus Urbanus II mengumumkan ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan suka rela mengikuti Perang Suci itu, sekalipun sebelumnya dia merupakan seorang perompak, pembunuh, pencuri dan sebagainya. Maka keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti perang dengan memikul senjata untuk menyertai perang Suci. Mereka yang ingin mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda Salib di badannya, oleh kerana itulah perang ini disebut Perang Salib.

Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi pemberangkatan tentera Salib menuju Timur Tengah, tapi kalangan awam sudah tidak sabar menunggu lebih lama lagi setelah dijanjikan dengan berbagai kebebasan, kemewahan dan habuan. Mereka mendesak Paderi Patriach Ermite agar berangkat memimpin mereka. Maka Ermite pun berangkat dengan 60,000 orang pasukan, kemudian disusul oleh kaum tani dari Jerman seramai 20.000, datang lagi 200,000 orang menjadikan jumlah keseluruhannya 300,000 orang lelaki dan perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka di izinkan merompak, memperkosa, berzina dan mabuk-mabuk. Setiap penduduk negeri yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan memberikan bantuan seperlunya.

Akan tetapi sesampainya di Hongaria dan Bulgaria, sambutan sangat dingin, menyebabkan pasukan Salib yang sudah kekurangan makanan ini marah dan merampas harta benda penduduk. Penduduk di dua negeri ini tidak tinggal diam. Walau pun mereka sama-sama beragama Kristian, mereka tidak senang dan bertindak balas. Terjadilah pertempuran sengit dan pembunuhan yang mengerikan. Dari 300,000 orang pasukan Salib itu hanya 7000 sahaja yang selamat sampai di Semenanjung Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.

Apabila pasukan Salib itu telah mendarat di pantai Asia kecil, pasukan kaum Muslimin yang di pimpin oleh Sultan Kalij Arselan telah menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka terjadilah pertempuran sengit antara kaum Salib dengan pasukan Islam yang berakhir dengan hancur binasanya seluruh pasukan Salib itu.

Kaum Salib Mengganas

Setelah kaum Salib yang dipimpin oleh para Rahib yang tidak tahu strategi perang itu musnah sama sekali, muncullah pasukan Salib yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari Lorraine Perancis, Bohemund dari Normandy dan Raymond dari Toulouse. Mereka berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan 150,000 askar, kemudian menyeberang selat Bosfur dan melanggar wliayah Islam bagaikan air bah. Pasukan kaum Muslimin yang hanya berkekuatan 50,000 orang bertahan mati-matian di bawah pimpinan Sultan Kalij Arselan.

Satu persatu kota dan Benteng kaum Muslimin jatuh ke tangan kaum Salib, memaksa Kalij Arselan berundur dari satu benteng ke benteng yang lain sambil menyusun kekuatan dan taktik baru. Bala bantuan kaum Salib datang mencurah-curah dari negara-negara Eropah. Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat mengharapkan bantuan dari wilayah-wilayah Islam yang lain, kerana mereka sibuk dengan kemelut dalaman masing-masing.

Setelah berlaku pertempuran sekian lama, akhirnya kaum Salib dapat mara dan mengepung Baitul Maqdis, tapi penduduk kota Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja. Mereka telah berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota Suci itu selama satu bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan Salib, tercapailah cita-cita mereka.

Berlakulah keganasan luar biasa yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia. Kaum kafir Kristian itu telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka juga membantai orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri dari berbagai agama dan bangsa.

Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata: “Pada saat penaklukan Jerussalem oleh orang Kristian tahun 1099, orang-orang Islam dibantai di jalan-jalan dan di rumah-rumah. Jerussalem tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang kalah itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian dengan cara menghendap-hendap dari benteng, yang lain berkerumun di istana dan berbagai menara untuk mencari perlindungan terutama di masjid-masjid. Namun mereka tetap tidak dapat menyembunyikan diri dari pengejaran orang-orang Kristian itu.

Tentera Salib yang menjadi tuan di Masjid Umar, di mana orang-orang Islam cuba mempertahankan diri selama beberapa lama menambahkan lagi adegan-adegan yang mengerikan yang menodai penaklukan Titus. Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang langgang di antara para buruan. Di tengah huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba menyelamatkan diri dengan sia-sia.

Raymond d’Agiles, yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan: “Di bawah serambi masjid yang melengkung itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut dan mencapai tali kekang kuda.”

Aksi pembantaian hanya berhenti beberapa saat saja, yakni ketika pasukan Salib itu berkumpul untuk menyatakan kesyukuran di atas kemenangan mereka. Tapi sebaik saja upacara itu selesai, pembantaian diteruskan dengan lebih ganas lagi.

Seterusnya Michaud berkata: “Semua yang tertangkap yang disisakan dari pembantaian pertama, semua yang telah diselamatkan untuk mendapatkan upeti, dibantai dengan kejam. Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari puncak menara dan bumbung-bumbung rumah, mereka dibakar hidup -hidup , diheret dari tempat persembunyian bawah tanah, diheret ke hadapan umum dan dikurbankan di tiang gantungan.

Air mata wanita, tangisan kanak-kanak, begitu juga pemandangan dari tempat Yesus Kristus memberikan ampun kepada para algojonya, sama sekali tidak dapat meredhakan nafsu membunuh orang-orang yang menang itu. Penyembelihan itu berlangsung selama seminggu. Beberapa orang yang berhasil melarikan diri, dimusnahkan atau dikurangkan bilangannya dengan perhambaan atau kerja paksa yang mengerikan.”

Gustav Le Bon telah mensifatkan penyembelihan kaum Salib Kristian sebagaimana kata-katanya: “Kaum Salib kita yang “bertakwa” itu tidak memadai dengan melakukan berbagai bentuk kezaliman, kerosakan dan penganiayaan, mereka kemudian mengadakan suatu mesyuarat yang memutuskan supaya dibunuh saja semua penduduk Baitul Maqdis yang terdiri dari kaum Muslimin dan bangsa Yahudi serta orang-orang Kristian yang tidak memberikan pertolongan kepada mereka yang jumlah mencapai 60,000 orang. Orang-orang itu telah dibunuh semua dalam masa 8 hari saja termasuk perempuan, kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun yang terkecuali.

Ahli sejarah Kristian yang lain, Mill, mengatakan: “Ketika itu diputuskan bahawa rasa kasihan tidak boleh diperlihatkan terhadap kaum Muslimin. Orang-orang yang kalah itu diheret ke tempat-tempat umum dan dibunuh. Semua kaum wanita yang sedang menyusu, anak-anak gadis dan anak-anak lelaki dibantai dengan kejam. Tanah padang, jalan-jalan, bahkan tempat-tempat yang tidak berpenghuni di Jerusssalem ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat peristiwa mengerikan itu.”

Artikel dipetik dari buku Kisah 85 Kekasih Allah (Kisah Pejuang Islam) Jilid 3, Darul Nu’man, oleh Tuan Hj Ahmad Muhd Abd Ghaffar.