Pengetahuan Islam (Asas)

Rukun Islam

Rukun Islam ada lima perkara iaitu:

Mengucap dua kalimah syahadat
“ Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh-Nya”
Dengan syahadat, kita mengabdikan diri dengan hati dan sanubari dan dengan pengakuan lidah bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah s.w.t dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya.

Solat Lima Waktu Sehari Semalam
Solat adalah rukun Islam yang kedua yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Sesiapa yang mendirikan solat akan mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya mendapat dosa dan azab yang pedih di akhirat.

Solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbiraktul ihram dan disudahi dengan memberi salam. Allah s.w.t berfirman:
“ Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu kewajiban yang ditentukan waktu ke atas orang yang beriman”

Solat Fardhu yang wajib didirikan ialah solat ima waktu sehari semalam. Solat Jumaat difardhukan kepada muslim pada setiap hari Jumaat. Solat amat penting bagi setiap individu muslim. Oleh itu anak-anak hendaklah dilatih mengerjakan solat sebagaimana hadith Rasullah s.a.w iaitu:

“ Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka sekiranya meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) daripada tempat tidur”

Dengan sembahyang kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah-Nya. Mulai dari lidah yang membaca, tangan bergerak, mata , telinga dan fikiran terpusat dengan susunan rukun sembahyang yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Mengeluarkan Zakat
Zakat dari segi bahasa boleh diertikan sebagai tumbuh dan bertambah. Ia juga bererti zakat dan baik, suci dan subur.
Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih; bersih dari sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita mengeluarkannya, serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah.

Zakat dari segi syara’ bermaksud nama daripada harta-harta tertentu yang diberikan kepada orang-orang tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Pembayaran zakat dibuat oleh seseorang Muslim dari harta/ pendapatan/ perniagaan/ tanaman/ ternakannya sama ada dalam bentuk wang atau bijian atau ternakan, dengan kadar tertentu (2.5% atau 5% atau 10%) bergantung kepada jenis harta, yang diserah kepada pihak berkuasa yang mengutip zakat, untuk diagih kepada 8 asnaf golongan-golongan yang berhak menerima zakat.

Zakat juga boleh dibayar terus sekiranya tiada pihak berkuasa menguruskannya.

Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Allah dengan menyerahkan sebahagian daripada harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya.

Berpuasa di Bulan Ramadan
Firman Allah s.w.t
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya

“Orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana didorong oleh rasa keimanan kepada Allah dan dengan penuh kesedaran, maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu. “

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhkan larangan-Nya. Ini secara langsung akan melahirkan rasa keinsafan serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Mengerjakan Haji Di Baitullah
Haji dalam syarak ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai’e dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat–syaratnya serta menunaikan segala yang wajibnya.

Dengan mengerjakan haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

Rukun Iman

Rukun Iman ada enam perkara iaitu:

Beriman Kepada Allah
Dengan Iman, kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati kita hanya kepada-Nya.Secara positifnya kita menuju Tauhid yang semurni-murninya dan secara negatif kita menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.

Beriman Kepada Malaikat-Malaikat
Dengan Iman kita mempercayai bahawa adanya makhluk ghaib yang bernama Malaikat yang menjalankan tugasnya mengikut perintah Allah.Secara positif kita percaya kepada alam ghaib yang ditegaskan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk ghaib yang tidak dinyatakan Allah.

Beriman Kepada Rasul-Rasul
Dengan beriman kepada Rasul-Rasul, kita mempercayai adanya pesuruh-pesuruh Allah di muka bumi ini untuk dijadikan petunjuk dan teladan.

Beriman Kepada Kitab-Kitab
Dengan beriman kepada kitab-kitab suci, kita mempercayai adanya kitab-kitab Allah yang memimpin manusia, yang di akhiri oleh Kitab Al-Quran.

Beriman Kepada Hari Kiamat
Dengan Iman, kita mempercayai bahawa di sebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.

Beriman Kepada Qada’ dan Qadar
Dengan beriman kepada qada’ dan qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaan-Nya.

Ilmu, Iman & Amal

Pengertian Iman
Iman adalah kepercayaan atau tasdiq yang kukuh melalui pengucapan lidah dan kepercayaan dalam hati terhadap Allah, kepercayaan kepada Rasul, kepercayaan kepada Malaikat, kepercayaan kepada Kitab-kitab, kepercayaan kepada Hari Akhirat dan kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar, baik dan buruk daripada Allah s.w.t.

Iman juga disebut sebagai akidah yang teguh terhadap semua ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tidak boleh diubah atau dipisah-pisahkan daripada keyakinan seseorang itu.

Pengertian iman dan akidah seperti yang disebut di atas adalah berdasarkan kepada kenyataan berikut:

Firman Allah SWT:

Photobucket
Maksudnya:
“ Maka sesiapa yang tidak percayakan kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan ( tali agama) yang kukuh teguh, yang tidak akan terombak (putus). Dan (ingatlah) , Allah maha mendengar lagi Maha Mengetahui .” (Al Baqarah : 256)

Sabda Rasullah SAW:

Photobucket
Maksudnya:
“Iman ialah bahawa engkau beriman dengan Allah, kepada malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya,kepada Rasul-rasul-Nya, kepada Hari Qiamat dan hendaklah engkau beriman kepda Qadar yang baik dan buruk.”
(Muslim dari Umar bin Al-Khattab)

Pengertian Iman bolehlah diambil kesimpulan bahawa:

Tiada dikategorikan seseorang itu sebagai telah beriman dalam erti kata beriman dengan sebenarnya jika dia tidak menerima secara bersungguh atau hanya mempercayai sebahagian dari rukun iman dan menolak sebahagian yang lain. Sesiapa yang menolak sebahagian atau meragui sebahagian dari rukun Iman bererti dia seolah-olah menolak keseluruhan rukun iman.

Firman Allah:

Photobucket
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) :” Sesiapa yang memusuhi Jibril, maka sesungguhnya Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada dihadapannya (yang diturunkan sebelumnya) serta menjadi pertunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman. Sesiapa yang memusuhi Allah (dengan mengingkari segala pertunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya serta rasul-rasul-Nya,khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang yang ingkar.” (Al Baqarah : 97-98)

Iman dan aqidah bukan hanya sekadar percaya kepada rukun iman, tetapi iman dan akidah mesti lahir dalam bentuk amalan dan perbuatan.
Tidak timbul rasa keagungan, kekuasaan dan kebesaran Allah dalam jiwa seseorang itu kalau dia tidak mengenali sifat-sifat keagungan dan kebesaran serta kekuasaan Allah SWT.

Adab

Adab Bercakap
Rasullah s.a.w bersabda
Janganlah bercakap melebihi daripada zikrullah. Sesungguhnya dengan banyak bercakap akan mengeraskan hati dan bila hatinya telah keras maka ia akan menjadi semakin jauh dari Allah.”

Bercakaplah dengan nada yang jelas tanpa ada rasa keraguan dan jangan bercakap dengan nada yang samar-samar.

Bercakaplah di depan dengan cara bertentangan mata dan jangan bercakap di belakang, ini untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan salah faham.

Jangan bercakap di depan orang sedang sakit tentang sesuatu yang mendukacitakan sebaliknya ucapkanlah tentang sesuatu yang memberangsangkan.

Jangan bercakap mengenai hal orang lain, membuat fitnah serta mencaci maki orang.

Jangan memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak menyenangkannya.

Jangan bercakap tentang sesuatu perkara yang anda sendiri masih kurang pasti mengenainya

Adab Berjanji
Jangan sesekali membuat janji sekiranya anda telah berniat untuk tidak menunaikan janji itu.

Jangan berjanji untuk membuat sesuatu perkara yang haram ataupun melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Sekiranya anda telah membuat janji maka tunaikanlah janji itu dan jangan sesekali melanggari janji itu jika anda tiada alasan yang kukuh dan wajar.

Adab Berjiran
Dikira jiran itu bermula daripada 40 buah rumah ke hadapan, belakang, kiri dan kanan.

Menziarahinya bila dia sakit.

Menerima undangannya bila ada sesuatu majlis kesyukuran atau keramaian.

Cuba membantunya sedaya yang boleh bila mereka berada dalam kesusahan.

Memaafkan setiap kesalahan dan kesilapan yang tidak disengajakan.

Adab Ketika Berada Di Masjid
Melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan sambil membaca doa tetapi ketika keluar melangkahlah dengan kaki kiri sambil membaca doa.

Sebelum duduk tunaikanlah solat sunat dua rakaat iaitu solat tahiyatul masjid.

Jangan berkeliaran di dalam masjid, ingatlah anda sedang berada di dalam istana Allah maka duduklah dengan penuh perasaan tawaduk dan sibukkan diri dengan memperbanyakkan solat sunat dan berzikir.

Jangan meninggikan suara di dalam masjid sama ada berzikir atau membaca Al-Quran kerana ini akan menganggu orang lain untuk beribadat.

Jangan berbual di dalam masjid mengenai hal-hal keduniaan.

Adab Makan
Membaca Bismillah ketika mula hendak makan.

Membersihkan tangan serta makan dan minum menggunakan tangan kanan.

Sunat makan secara berjemaah kerana banyak keberkatan yang terkandung di dalamnya.

Jika makanan yang ada itu sedikit sedangkan tetamunya terlalu ramai maka janganlah makan sampai terlalu kenyang.

Akhlak

Sifat-sifat Terpuji

Bertaubat ertinya meninggalkan segala perbuatan tercela yang telah dikerjakannya dengan niat kerana ingin membesarkan Allah s.w.t. Orang yang bertaubat mesti memenuhi syarat-syarat yang berikut sebagai bukti kesungguhannya iaitu:
Meninggalkan maksiat dengan kesedarannya.
Sungguh- sunguh menyesal di atas perbuatannya yang salah itu atau yang telah terlanjur.
Berazam dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi keterlanjurannya lagi.

Khauf ertinya takutkan Allah. Takut kepada kemurkaaan-Nya dengan memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah.

Zuhud ertinya bersih dan suci hati berkehendakkan lebih daripada keperluannya serta tidak pula bergantung kepada makhluk lain. Hatinya sentiasa mengingati bahawa harta yang dimilikinya adalah sebagai amanah daripada Allah buat sementara waktu sahaja.

Sabar ertinya tabah dan cekal dalam menghadapi sesuatu ujian dan dugaan yang mendukacitakan daripada Allah.

Syukur ertinya menyedari bahawa semua nikmat yang diperolehi baik yang lahir mahu pun yang batin semuanya adalah daripada Allah. Ia juga merasa gembira dengan nikmat itu serta bertanggungjawab kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan-Nya.

Ikhlas ertinya mengerjakan amal ibadat dengan penuh ketaatan serta semua perbuatan yang dilakukan itu semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, bukan kerana tujuan yang lain.

Tawakal ertinya berserah diri kepada Allah dalam melakukan sesuatu rancangan.

Mahabbah ertinya kasihkan Allah dan hatinya sentiasa cenderung untuk berkhidmat dan beribadat kepada Allah serta bersungguh-sungguh dalam menjaga dirinya dari melakukan maksiat.

Reda dengan Qada’ dan Qadar ertinya merasa lapang dalam menerima ketentuan nasib yang telah ditakdirkan Allah, samada yang berupa nikmat ataupun musibah.

Zikrul Maut ertinya sentiasa ingat kepada kematian.

Sifat-sifat Tercela

Syarhul Tha’am ertinya gemar kepada makan ataupun makan dengan terlalu banyak.

Syarhul Kalam ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak memberi hasil atau mendatangkan sebarang faedah kepada dunia dan juga akhirat.

Ghadhob ertinya bersifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku hanya pada perkara yang kecil.

Hasad ertinya dengki akan nikmat yang ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan melebihi dirinya.

Bukhl ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan harta kepada jalan Allah.

Hubbul Jah ertinya cintakan kepada kemegahan dunia dan hatinya sentiasa berkehendakkan kepada kemasyhuran.

Hubbul Dunya ertinya cintakan kepada dunia secara keterlaluan sehingga lalai daripada mengerjakan ibadat dan berzikir kepada Allah.

Kibr ertinya bongkak atau sombong dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan serta kedudukan yang tinggi dari orang lain.

Ujub ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga terlupa segalanya adalah nikmat yang datangnya daripada Allah.

Riya’ ertinya menunjuk –nunjuk dengan amal ibadatnya. Ia beramal untuk mendapatkan pujian dan sanjungan daripada manusia bukan daripada Allah.

Pedoman

Berikut adalah beberapa sabda Junjungan kita, Rasulullah s.a.w.
Muslimin dan muslimat, kajilah, fahamilah intipati sabda berikut buat pedoman kita di dunia yang penuh dugaan ini, mudah-mudahan kita mendapat kerahmatan dan kesejahteraan daripada Allah s.w.t.
Rasullulah s.a.w bersabda :

“ Sedekah itu bermula dengan dirimu, kemudian keluargamu.
Jika berlebihan maka untuk kerabatmu dan seterusnya”.
( Sahih. R.Nasaai )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Bertaqwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah dalam
( hal ) anak-anakmu”
( Sahih. R Bukhari & Muslim )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Bertaqwalah kamu kepada Allah, lakukanlah solat lima ( waktu ) mu,
berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakatmu dengan senang hati,
taatilah orang yang memegang urusanmu, engkau akan masuk syurga Tuhanmu”.
( Sahih. R.Tirmidzi, Ibnu Hibban & Haakim )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“ Orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertaqwa”
( Sahih. R.Bukhari & Muslim )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Ibadat yang paling utama adalah berdoa”
( Sahih R.Haakim, Ibnu’Adi & Sa’d)

Rasullulah s.a.w bersabda :
“ Ada tiga tanda orang munafik :
apabila ia berbicara ia dusta,
apabila ia berjanji ia mungkir,
apabila dipercaya ia khianat”.
( Sahih R.Bukhari, Muslim & Tirmidzi )

Rasullulah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa dari umatku membaca selawat ke atasku satu kali Allah menetapkan untuknya sepuluh kebaikan, menghapuskan daripadanya sepuluh keburukan, mengangkat untuknya sepuluh darjat”.
( Sahih. R.Ahmad )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: