Rezeki Ada Dimana-Mana

Rezeki ada dimana-mana.

SECARA umumnya, ramai umat muslim Melayu di negara ini biasa mendengar perkataan atau istilah “tauhid” yang merujuk kepada keesaan Tuhan.

Tuhan itu tunggal, esa, dan tidak ada persamaan dengan segala makhluk yang wujud di seluruh alam ini, yang mampu terfikir oleh manusia walaupun mereka seluruhnya bersatu untuk memikirkannya. Selain itu, Tuhan amat berkuasa atas segala sesuatu. Setiap fenomena yang berlaku di dalam alam maya ini adalah dengan kehendak dan keizinan-Nya. Dan dalam hal ini, pembangunan ekonomi tidak terkecuali.

Pembangunan ekonomi individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara juga berlaku atas kehendak dan izin Tuhan. Maka dengan pendahuluan yang ringkas ini penulis merasakan wujud hubungkait di antara pengertian tentang tauhid dengan pembangunan ekonomi terutamanya di peringkat individu dan keluarga.

Seterusnya, mari kita lakukan penelitian yang lebih mendalam tentang konsep tauhid dalam konteks menambahkan pendapatan kendiri, keluarga, peningkatan ekonomi dan lain-lain aspek berkaitan dengan pembangunan ekonomi atau iktisas dalam kehidupan kita seharian.

Cuba kita teliti konsep “ar-Razzaq” iaitu satu daripada 99 nama atau gelaran Tuhan yang tercantik. Mengikut pengertian penulis, ar-Razzaq bermaksud pemberi rezeki iaitu Tuhan yang maha pemurah sentiasa memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya terutama hamba yang bergelar manusia. Jadi sekarang, bagaimanakah konsep ini diaplikasi dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia.

Lazimnya dalam kehidupan seharian kita, kita mendapat rezeki melalui pekerjaan. Kita melakukan pekerjaan dan mendapat pulangan (rezeki) kewangan.

Dengan pulangan kewangan, kita berbelanja membeli pelbagai keperluan kehidupan seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, kenderaan dan pelbagai keperluan lain yang relevan dengan kehidupan kita.

Bagi mereka yang berfikiran jauh dan tajam akan membuat persiapan menghadapi hari tua dan menyediakan tabungan untuk anak generasi yang tercinta. Melalui proses dan aktiviti-aktiviti kehidupan sebegini, kehidupan kita boleh dirancang dan tindakan yang wajar boleh diambil atau dilakukan untuk memperoleh kehidupan yang normal dan sempurna.

Bagaimanapun, senario kehidupan kita tidaklah selalunya normal dan sempurna seperti yang digambarkan di atas. Memang wujud liku-liku kesukaran atau gelombang dalam kehidupan seharian kita. Kita ada mendengar ungkapan seperti “asam garam hidup” untuk menggambarkan halangan yang perlu dihadapi oleh setiap manusia dalam menempuh proses kehidupan ini.

Begitu juga dengan ungkapan life struggle yang cuba menggambarkan usaha-usaha manusia yang berterusan untuk melangsungkan kehidupan ini. Untuk menerangkan hakikat ini, cuba kita ambil satu contoh fenomena yang terserlah di hadapan mata kita iaitu pengangguran di kalangan graduan.

Jadi apa pula perhubungan di antara fenomena yang sedang diperkatakan ini dengan sifat ar-Razzaq Tuhan? Adakah ini bermaksud rezeki yang diberikan Tuhan kepada makhluk-Nya tidak mencukupi?

Habuan,sekiranya mencukupi, mengapa terdapat orang yang tidak mendapat pekerjaan, lalu tidak bekerja untuk mendapatkan habuan demi untuk menyara kehidupan kendiri, tanggungan dan anak-pinak termasuk keluarga sendiri?

Persoalan yang lebih teruk lagi ialah mengapa wujudnya fenomena kemiskinan kemelaratan, kesengsaraan, dan kelaparan di kalangan manusia? Kita akan cuba huraikan permasalahan yang ditimbulkan ini satu-persatu.

Saranan seorang ulama ulung nusantara, Allahyarham Pak Hamka sewajarnya menjadi perhatian. Mengikut Pak Hamka, rezeki Tuhan itu ada di mana-mana asalkan kita sanggup berusaha dan bekerja keras untuk mencarinya. Saranan itu disokong oleh seorang profesor berbangsa Korea yang menyatakan dalam sebuah bukunya bahawa kekayaan berada di mana-mana.

Persoalan logik yang timbul ialah mengapa wujud fenomena graduan menganggur yang bergantung kepada ibu-bapa dan tidak berupaya langsung menyara diri sendiri, bahkan jauh sekali untuk membantu orang lain.

Ramai yang memperkatakan fenomena itu berlaku disebabkan oleh faktor-faktor antara lain terlalu memilih pekerjaan, pekerjaan tidak sesuai dengan bidang pengajian di universiti tidak berinisiatif dan tidak menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris untuk jawatan yang lebih profesional.

Jadinya, penyebab kepada pengangguran ialah aspek-aspek yang diperkatakan di atas dan bukannya tiada kedapatan rezeki. Memperhalusi hakikat ini, maka kita boleh sampai kepada kesimpulan bahawa memang wujud pekerjaan untuk kita berusaha mencarinya demi menyara hidup diri sendiri dan juga keluarga.

Maka benarlah ungkapan Pak Hamka bahawa “memang wujud rezeki di mana-mana” sekiranya kita rajin dan tekun berusaha mencarinya. Seterusnya timbul persoalan mengapa menganggur? Jawapannya adalah jelas, tepuk dada tanya iman.

Persoalan seterusnya ialah mengapa wujud kemiskinan, kemelaratan, kesengsaraan, kesusahan dan pelbagai macam angkara pemusnah dalam sesebuah negara?

Tetapi di samping itu, wujud pula golongan kaya raya yang menguasai pelbagai macam habuan materialisme melimpah ruah di luar pengiraan orang biasa atau orang awam.

Hakikatnya, penganugerahan rezeki oleh ar-Razzaq adalah sangat sempurna merangkumi keseluruhan rakyat, namun kesempurnaan ini dicabuli oleh tangan-tangan manusia yang korup dan tamak haloba yang secara langsung mencemarkan kesempurnaan penganugerahan rezeki ar-Razzaq tersebut.

Golongan ini menikmati habuan materialisme semahu-mahunya, manakala golongan awam yang terbanyak menjalani kehidupan sederhana dan ramai yang berada pada paras kemiskinan dan kemiskinan tegar.

Sekali lagi di sini, maka jelaslah bahawa masalah sebenarnya bukanlah ketiadaan habuan (rezeki) untuk sesebuah negeri, tetapi disebabkan oleh ketidakadilan dalam mengagihkan habuan tersebut.

Maka, kepada pemegang kuasa, diseru supaya berlaku adil dalam pengagihan rezeki kepada seluruh rakyat supaya hidup kita diberkati dan hidup kita ini menjadi selesa dan harmoni. Dalam hal yang sedang diperkatakan ini, pencerapan yang dilakukan adalah dari sudut makro.

Sekarang, kita beralih kepada pandangan atau pencerapan di aras mikro yang lebih menumpukan kepada permasalahan di peringkat individu.

Cuba kita bentuk senario berikut. Katakan seorang individu mendapati kesukaran dalam usaha mencari kerja (rezeki) sedangkan orang lain sudah pun mendapatkannya. Jadi bagi orang lain, ini bukanlah satu kesukaran (ertinya mereka ada rezeki).

Jadi, bagi individu berkenaan perlulah dia bermuhasabah dengan diri sendiri dalam mencari sebab mengapa orang lain boleh mendapatkan pekerjaan sedangkan dia tidak.

Apakah kekurangannya berbanding orang lain? Adakah kerana dia terlalu memilih pekerjaan dengan menumpukan kepada pekerjaan yang hanya bersesuaian dengan kelulusan yang dimiliki. Sekiranya jawapannya “ya”, maka individu ini seharusnya menukar sikap untuk mengambil setiap peluang walaupun tidak setaraf dengan kelulusan akademiknya.

Binalah hierarki kerjaya daripadanya dan sekiranya dia terus tekun bersabar membina kerjaya tersebut, maka percayalah pada suatu hari nanti, dia akan sampai ke puncak hierarki kerjaya berkenaan. Ini merupakan satu kejayaan dalam hidup duniawi.

Dengan contoh-contoh yang telah dipaparkan, sudah cukup untuk memberikan kita keyakinan untuk membuat kesimpulan bahawa “rezeki berada di mana-mana” sekiranya kita rajin dan tekun dalam mencarinya.

Secara keseluruhan daripada perbincangan ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa memang wujud perkaitan di antara konsep (ar-Razzaq dalam konteks tajuk perbincangan ini dipanggil Pemikiran Tauhid) dengan pembangunan ekonomi ummah”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: